LZS SALURKAN RM15.9 JUTA KEPADA 21,523 KELUARGA ASNAF FAKIR DAN MISKIN



SHAH ALAM, 10 Julai 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan sebanyak RM15,930,600 bantuan zakat bersempenaRamadan dan Hari Raya kepada 21,523 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor, bagi membolehkan penerima zakat membuat persiapan Ramadan dan Hari Raya lebih awal dan sempurna.

Daripada jumlah tersebut, RM5,480,150 diagihkan kepada 7,181 keluarga asnaf fakir, manakala RM10,450,450 diagihkan kepada 14,342 keluarga asnaf miskin dengan masing-masing menerima di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada tanggungan masing-masing. Walau bagaimanapun, jumlah keluarga dijangka akan bertambah kerana bantuan zakat akan diteruskan sehingga seminggu sebelum menjelang Syawal.

Selain daripada itu, setiap ketua keluarga asnaf fakir dan miskin turut menerima sumbangan peralatan ibadah berupa sejadah, telekung, kain pelekat beserta tafsir al-Quran. Ia sebagai memenuhi keperluan asnaf untuk tujuan ibadah harian.

Daerah Hulu Langat mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan iaitu kira-kira 3,458 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM2,571,450. Ini diikuti daerah Petaling seramai 3,427 keluarga melibatkan jumlah agihan zakat sebanyak RM2,591,300, Sabak Bernam seramai 3,225 keluarga (RM2,271,250), Kuala Selangor seramai 2,993 keluarga (RM2,160,200) dan Hulu Selangor seramai 2,192 keluarga (RM1,639,550).

Manakala daerah Klang seramai 2,125 keluarga (RM1,616,700), Kuala Langat seramai 1,736 keluarga (RM1,305,250) dan Gombak seramai 1,607 keluarga (RM1,214,650). Sementara daerah Sepang pula mencatatkan bilangan penerima terendah iaitu seramai 760 keluarga dengan jumlah agihan zakat sebanyak RM560,250.

Sebanyak 46 lokasi di seluruh Selangor dipilih sepanjang program penyampaian bantuan agihan Ramadan dan Hari Raya berlangsung bermula 18 Jun dan berakhir pada 9 Julai 2013 lalu.