LZS SALURKAN BANTUAN ZAKAT KEPADA ASNAF FAKIR DAN MISKIN DAERAH PETALING UNTUK PERSIAPAN RAMADAN



KOTA DAMANSARA, 24 Mei 2016 – Seramai 368 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di daerah ini berpeluang membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan Ramadan apabila menerima bantuan zakat bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM247,940 yang diadakan dalam satu majlis di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM100,610 diagihkan kepada asnaf fakir, manakala RM147,330 diagihkan kepada asnaf miskin dengan masing-masing menerima bantuan di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan bagi setiap keluarga.

Majlis penyerahan hari ini merupakan siri pertama yang diadakan di daerah Petaling, diikuti dengan empat siri lain yang akan diadakan sebelum menjelang Ramadan.

Pada tahun ini, LZS mengagihkan sebanyak RM27,236,240 bantuan zakat kepada 36,950 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan kedatangan Ramadan dan Hari Raya.

Daripada jumlah tersebut, seramai 12,565 keluarga asnaf fakir menerima bantuan zakat berjumlah RM9,480,520. Manakala 24,385 keluarga asnaf miskin menerima bantuan zakat berjumlah RM17,755,720. Penerima asnaf fakir dan miskin ini akan menerima bantuan zakat sama ada menerusi akaun bank atau wang tunai.

Daerah Petaling mencatatkan jumlah penerima bantuan tertinggi seramai 6,585 keluarga asnaf fakir dan miskin melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,838, 710.

Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada asnaf fakir dan miskin ini telah bermula pada 24 Mei 2016 dan dijangka berakhir pada 4 Jun 2016 menerusi 19 program yang diadakan di setiap daerah bagi membantu golongan yang memerlukan membuat persiapan awal bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal.