LZS SALURKAN BANTUAN ZAKAT KEPADA ASNAF FAKIR DAN MISKIN DAERAH KLANG UNTUK PERSIAPAN RAMADAN



KLANG, 26 Mei 2016 – Seramai 794 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di daerah ini berpeluang membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan Ramadan apabila menerima bantuan zakat bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM563,750.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Orang Besar Daerah Klang, Dato’ Setia Diraja Dato’ Abdul Ghani Pateh Akhir di Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada Asnaf Fakir dan Miskin di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM181,000 diagihkan kepada 253 orang asnaf fakir, manakala RM382,750 diagihkan kepada 541 orang asnaf miskin dengan masing-masing menerima bantuan di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan bagi setiap keluarga.

KLANG 26 MAY 2016. Seramai 794 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin berbaris untuk mendapatkan bantuan zakat di majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada Asnaf Fakir dan Miskin Daerah Klang di Majlis Bandar Diraja Klang.  Sebanyak RM563,750 diperuntukkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi bantuan tersebut. NSTP/ROSLIN MAT TAHIR

Majlis penyerahan hari ini merupakan siri pertama yang diadakan di daerah Klang, diikuti dengan satu siri lagi pada 31 Mei nanti.

Pada tahun ini, LZS mengagihkan sebanyak RM27,236,240 bantuan zakat kepada 36,950 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan kedatangan Ramadan dan Hari Raya.

Daripada jumlah tersebut, seramai 12,565 keluarga asnaf fakir menerima bantuan zakat berjumlah RM9,480,520. Manakala 24,385 keluarga asnaf miskin menerima bantuan zakat berjumlah RM17,755,720. Penerima asnaf fakir dan miskin ini akan menerima bantuan zakat sama ada menerusi akaun bank atau wang tunai.

Daerah Klang merupakan daerah kedua selepas daerah Petaling yang mempunyai jumlah penerima tertinggi bagi bantuan tersebut iaitu seramai 6,416 keluarga melibatkan peruntukan agihan zakat sebanyak RM4,785,530.

Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada asnaf fakir dan miskin ini telah bermula pada 24 Mei 2016 dan dijangka berakhir pada 4 Jun 2016 menerusi 19 program yang diadakan di setiap daerah bagi membantu golongan yang memerlukan membuat persiapan awal bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal.