LZS SALURKAN BANTUAN ZAKAT KEPADA ASNAF FAKIR DAN MISKIN DAERAH HULU SELANGOR UNTUK PERSIAPAN RAMADAN



HULU SELANGOR, 4 Jun 2016 – Seramai 716 orang penerima dalam kalangan asnaf fakir dan miskin di daerah ini berpeluang membuat persiapan awal untuk menyambut kedatangan Ramadan apabila menerima bantuan zakat bersempena kedatangan Ramadan dan Syawal dari Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM509,880.

Bantuan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Majlis Penyampaian Bantuan Ramadan dan Hari Raya kepada Asnaf Fakir dan Miskin di sini hari ini.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM215,750 diagihkan kepada 300 orang asnaf fakir, manakala RM294,130 diagihkan kepada 416 orang asnaf miskin dengan masing-masing menerima bantuan di antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan bagi setiap keluarga.

Pada tahun ini, LZS mengagihkan sebanyak RM27,236,240 bantuan zakat kepada 36,950 keluarga asnaf fakir dan miskin di seluruh Selangor bersempena dengan kedatangan Ramadan dan Hari Raya.

Daripada jumlah tersebut, daerah Hulu Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM2,973,210 kepada 3,987 keluarga asnaf bersempena dengan kedatangan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Hussin Mohd Ali.