LZS SALUR RM2.5 JUTA UNTUK TABUNG KEBAJIKAN PESAKIT HOSPITAL



SHAH ALAM, 5 Disember 2017 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan sumbangan zakat fasa kedua sebanyak RM2,500,000 kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS di 17 buah hospital sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Penyampaian sumbangan zakat ini disempurnakan oleh Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail bertempat di Auditorium Hospital Shah Alam di sini.

Untuk makluman, LZS telah menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Pesakit LZS sejak tahun 2008, bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Hospital berkenaan ialah, Hospital Kuala Lumpur yang menerima sumbangan zakat berjumlah RM400,000, diikuti dengan Institut Jantung Negara sebanyak RM300,000.

Sementara itu, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM250,000. Manakala Hospital Tengku Ampuan Rahimah menerima sebanyak RM200,000, diikuti Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang masing-masing menerima RM150,000.

Hospital Kajang menerima sumbangan zakat sebanyak RM100,000, Hospital Putrajaya sebanyak RM100,000, Hospital Rehabilitasi, Cheras turut menerima sumbangan zakat sebanyak RM100,000. Manakala Pusat Perubatan UiTM Sungai Buloh menerima sebanyak RM70,000, Hospital Shah Alam pula menerima sebanyak RM50,000, Insitut Kanser Negara menerima sumbangan zakat sebanyak RM40,000 dan Hospital Kuala Kubu Bharu serta Hospital Banting masing-masing menerima RM20,000.

DSC_4077

Untuk makluman, sumbangan zakat kepada tabung pada hari ini merupakan dana tambahan yang disalurkan oleh LZS. Pada bulan Ramadan tahun ini, LZS telah menyalurkan sumbangan zakat fasa pertama kepada tabung tersebut sebanyak RM1,770,000.

Hadir sama dalam majlis ini, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Perubatan), Dr. Murniati Hassan dan Officer in Charge merangkap Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Abdul Basith Hamid.