LZS SALUR RM17.5 JUTA KEPADA 22,923 FAKIR DAN MISKIN SAMBUT RAMADAN DAN RAYA



Shah Alam, 20 Julai 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan sebanyakRM17,527,450 bantuan zakat untuk diagihkan kepada 22,923 keluarga fakir dan miskin di Selangor bagi memberi mereka peluang membuat persiapan menyambut bulan Ramadan dan Hari Raya.

Daripada jumlah itu, RM5,307,900 diagihkan kepada 6,859 keluarga asnaf fakir, manakala RM12,219,550 diagihkan kepada 16,064 keluarga asnaf miskin dengan masing-masing menerima antara RM550 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan.

Daerah Petaling mencatatkan bilangan paling ramai menerima bantuan zakat iaitu kira-kira 4,000 keluarga dengan nilai bantuan sebanyak RM3,091,400.00. Ini diikuti daerah Hulu Langat seramai 3,946 keluarga (RM2,966,750), Sabak Bernam seramai 3,050 keluarga (RM2,141,500), Klang seramai 2,692 keluarga (RM2,081,400), Kuala Selangor seramai 2,622 keluarga ( RM1,885,750), Hulu Selangor seramai 2,140 keluarga (RM1,622,250) Kuala Langat seramai 1,996 keluarga (RM1,500,550), Gombak seramai 1,752 keluarga (RM1,331,100) dan Sepang seramai 725 keluarga (RM906,750).

LZS mengatur 43 buah program penyampaian bantuan agihan Ramadan dan Hari Raya yang diadakan di seluruh Selangor bermula 3 Julai lalu dan berakhir pada 19 Julai 2012 lalu.