LZS SALUR RM11.8 JUTA UNTUK TABUNG KEBAJIKAN PERUBATAN MALAYSIA



SHAH ALAM, 8 Oktober 2018 – Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan menyampaikan sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM11,770,000 kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia di 18 buah hospital dan institut perubatan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Sumbangan tersebut merupakan penyaluran sumbangan LZS bagi fasa dua untuk tabung tersebut pada tahun ini. Pada bulan Ramadan lalu, LZS telah menyalurkan sumbangan zakat fasa pertama kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia sebanyak RM2,500,000. Ini menjadikan jumlah keseluruhan sumbangan LZS bagi Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia untuk tahun 2018 berjumlah RM14,270,000.

DSC_7153

Untuk makluman, LZS telah menyalurkan sumbangan kepada Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia sejak tahun 2008, bertujuan meringankan bebanan pesakit Islam yang kurang berkemampuan dan memerlukan kos pembiayaan bagi menjalani rawatan di hospital.

Hospital dan institusi perubatan berkenaan ialah, Yayasan Institut Jantung Negara yang menerima sumbangan zakat berjumlah RM1,400,000, diikuti dengan Hospital Kuala Lumpur sebanyak RM1,300,000.

Sementara itu, Institut Kanser Negara, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kanser Negara (MAKNA) masing-masing menerima sumbangan zakat sebanyak RM1,000,000. Manakala Hospital Tengku Ampuan Rahimah menerima sebanyak RM750,000, diikuti Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Serdang yang masing-masing menerima sebanyak RM600,000.

Hospital Kajang menerima sumbangan zakat sebanyak RM430,000, Hospital Putrajaya dan Hospital Rehabilitasi, Cheras masing-masing turut menerima sumbangan zakat sebanyak RM380,000.

Manakala Pusat Perubatan UiTM Sungai Buloh menerima sebanyak RM280,000, Hospital Shah Alam pula menerima sebanyak RM200,000, Hospital Banting dan Hospital Kuala Kubu Bharu masing-masing menerima sebanyak RM85,000.

Turut hadir, isteri Dato’ Menteri Besar Selangor, Puan Masdiana Muhammad, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Jamalullail, Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia, Dato’ Dr. Azman Abu Bakar. Hadir sama, Ketua Pegawai Penyelaras (Officer in Charge) LZS Abdul Basith Hamid.

DSC_7151