LZS SALUR LEBIH RM275 RIBU UNTUK 917 KELUARGA MANGSA BANJIR



HULU LANGAT, 27 Mac 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM275,100 kepada 917 keluarga dari kawasan Taman Sri Nanding dan Kg. DusunNanding berikutan kejadian banjir buruk yang melanda kawasan Ampang dan Hulu Langat baru-baru ini.

Bantuan ini merupakan sebahagian daripada RM664,200 bantuan zakat yang diperuntukkan untuk 2,214 mangsa banjir yang berlaku awal bulan ini dan merupakan peruntukan di bawah fisabilillah. LZS telah menyalurkan sumbangan zakat kepada mangsa banjir ini di enam program yang diadakan sebelum ini.

Dalam majlis ini, setiap keluarga menerima bantuan zakat berjumlah RM300 bagi meringankan beban kepada mangsa yang kehilangan harta benda akibat bencana alam itu. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.