LZS SALUR BANTUAN ZAKAT RM530 RIBU KEPADA 34 BADAN KEBAJIKAN



SHAH ALAM, 27 Disember 2010 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan zakat dalam bentuk geran kepada 34 buah rumah kebajikan di Selangor bernilai RM530,000 di sini hari ini.

Bantuan diberikan melalui dua fasa, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1,365,500 di mana sebanyak RM835,500 yang telah diserahkan pada Julai lalu. Bantuan disampaikan oleh Rodziah Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor.

Melalui bantuan zakat ini diharap dapat membantu rumah-rumah kebajikan ini terutamanya dalam usaha mereka menangani masalah sosial dan mewujudkan jaminan sosial serta kebajikan ummah supaya tidak ada yang melarat dan terpinggir.
Rumah kebajikan yang menerima bantuan zakat ini terdiri daripada rumah yang menempatkan anak yatim, warga emas, bekas penagih dadah, wanita yang menghadapi masalah, ibu tunggal dan pesakit AIDS.

Bantuan yang diberikan berjumlah di antara RM10,000 ke RM20,000. Antara rumah-rumah kebajikan yang menerima bantuan ialah Rumah Penawar sebanyak RM20,000, Asrama Anak Yatim Damai (RM20,000) dan Rumah Jagaan Dan Rawatan (RM20,000).

Pada tahun lalu, LZS menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM1,565,000 kepada 38 buah rumah kebajikan di Selangor. Turut hadir Abdul Halem Hafiz, Timbalan Setiausaha Majlis Agama Islam Selangor.