LZS RAIKAN KEJAYAAN ATHIRAH



SHAH ALAM, 29 JUN 2011 – Nor Athirah Mohd. Johari, 18 telah dinobatkan sebagai pelajar cemerlang Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2010. Beliau diraikan bersama 45 orang pelajar lain di dalam Program Anak Asnaf Cemerlang SPM yang telah diadakan di sebuah hotel di Shah Alam, baru-baru ini.

Athirah merupakan anak keenam daripada tujuh orang adik-beradik. Dalam wawancaranya bersama media massa, beliau memberitahu sebelum dibantu LZS, beliau dan adik-beradiknya pernah diberhentikan sekolah selama setahun kerana kekangan kewangan keluarganya.

Walau bagaimanapun, bantuan LZS yang bermula pada tahun 2007 telah membawa harapan kepada beliau sekeluarga. Apa yang lebih menarik, sungguh pun pernah keciciran sekolah selama setahun; namun Athirah berjaya memperolehi keputusan cemerlang 5A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Athirah juga memperolehi 8A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan seterusnya mendapat 11A dalam SPM.

Kejayaan Athirah yang juga bekas pelajar di Ma’ahad Hamidiah, Kajang di dalam SPM ini membolehkan beliau dianugerahkan tokoh pelajar cemerlang yang melayakkan beliau membawa pulang sebuah trofi, sijil, sebuah komputer riba dan juga wang tunai RM1,000.00 sebagai insentif galakan pendidikan daripada LZS.

Ditemui selepas program tersebut, Athirah yang kini sedang mengikuti kursus persediaan di peringkat A-Level di Kolej MARA Seremban, menyimpan cita-cita untuk menjadi seorang jurutera dalam bidang kimia. Beliau dijangka akan melanjutkan pelajarannya di Australia selepas ini.