LZS RAIKAN 120 ORANG USAHAWAN DAN ANAK ASNAF



SHAH ALAM, 11 Oktober 2014 – Seramai 120 orang usahawan asnaf yang berjaya dalam perniagaan dan anak-anak asnaf yang cemerlang dalam peperiksaan diraikan di Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2014 anjuran Lembaga Zakat Selangor bertempat di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini hari ini.

Majlis anugerah ini bertujuan memberi penghargaan dan pengiktirafan atas kejayaan para asnaf zakat di LZS. Pada masa yang sama, ia dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk mengekalkan kejayaan tersebut, di samping menjadi contoh kepada asnaf yang lain.

Sebanyak empat anugerah Usahawan Cemerlang diberikan kepada penerima bantuan modal LZS. Mereka dipilih berdasarkan kepada kegigihan dalam perniagaan selain dapat meningkatkan pendapatan.

Mereka ialah Norhayu Othman yang mendapat Anugerah Usahawan Cemerlang kategori makanan, sementara Usahawan Cemerlang kategori makanan (mobile) dianugerahkan kepada Rasman Nordin. Pengusaha van sekolah, Omar Muhammad Noor pula mendapat anugerah Usahawan Cemerlang kategori perkhidmatan dan Asri Kemin yang menjalankan perniagaan menjual hasil tani mendapat anugerah Usahawan Cemerlang kategori Peruncitan.

Manakala, seramai 28 orang usahawan asnaf berdaya saing turut menerima anugerah Usahawan Wawasan sebagai penghargaan atas usaha mereka, di samping menjadi pemangkin semangat untuk terus berjaya.

Bagi Anugerah Keluarga Harapan diberikan kepada Azmi Zain yang merupakan asnaf orang kelainan upaya (OKU) dan juga penerima bantuan modal perniagaan. Beliau yang mengusahakan perniagaan baik pulih peralatan OKU mempunyai anak-anak cemerlang dalam akademik.

Sementara itu, seramai 87 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin yang berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.

Ahmad Shauqi Johara yang memperoleh keputusan 11 A dalam SPM lalu, turut menerima Anugerah Pelajar Bestari. Beliau kini sedang menyambung pengajian di Universiti Teknologi Petronas dalam program asasi. Manakala Nursyuhada Mohamad yang baru sahaja menamatkan pengajian di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan memperoleh Ijazah Ekonomi dan Kewangan diberikan Anugerah Mahasiswa Bestari.

Buat pertama kali pada tahun ini, LZS menyediakan dua anugerah khas bagi mengiktiraf golongan asnaf OKU. Anugerah tersebut diserahkan kepada Mohd Izhar Abdullah@Saidon dan Siti Nor Aishah Jamhari. Izhar merupakan asnaf miskin yang pernah menerima bantuan modal perniagaan, sementara Aishah merupakan pelajar asnaf IPT yang sedang melanjutkan pengajian program Asasi Perkaunan di Management and Science University.

Hadir sama dalam majlis ini ialah, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Mohd Shahari Ahmad Jabar dan Dato’ Siti Maslamah Osman serta Timbalan Setiausaha MAIS, Ahmad Shahir Makhtar. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.