LZS RAIH EJEN KUTIPAN ZAKAT: BANTU MUDAHKAN URUSAN PEMBAYARAN ZAKAT



SHAH ALAM, — Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan Majlis Penghargaan Kepada Ejen Kutipan Zakat 2011 bagi menghargai peranan dan kerjasama mereka dalam memudahkan urusan pembayaran zakat di Selangor di sini pada 22 Julai.

Majlis yang disertai lebih 70 orang wakil ejen kutipan zakat ini juga bertujuan merapatkan hubungan siraturahim di antara LZS dengan ejen-ejen kutipan zakat LZS.

Di majlis ini juga 12 anugerah diberikan kepada ejen-ejen kutipan zakat yang berjaya mencapai kutipan zakat tertinggi sepanjang tahun 2010. Anugerah ini dibahagikan kepada empat kategori.

Antara ejen-ejen yang menerima anugerah kutipan tertinggi mengikut kategori adalah Celcom Axiata Berhad (Kategori Ejen Syarikat dan Agensi), Persatuan Akauntan Malaysia (Kategori Ejen Percukaian), Salihin Consulting (Kategori Firma Audit), Universiti Institut Teknologi Malaysia (Kategori Ejen IPT) dan  Maybank Berhad (Kategori Ejen & Pos).

Sehingga kini LZS melantik 64 ejen kutipan zakat semenjak tahun 1997 yang terdiri daripada 15 bank utama, tujuh buah ejen syarikat dan egensi, Pos Malaysia, 27 ejen cukai serta sembilan firma audit.  Manakala enam IPT pula ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dan Universiti Multimedia (MMU).

Melalui ejen kutipan zakat ini pelbagai kemudahan disediakan antaranya pembayaran zakat melalui perbankan internet, perbankan telefon, kaunter-kaunter bank dan pos, mesin ATM, kad kredit serta kad debit. Manakala di stesen minyak Petronas orang ramai boleh membayar zakat menerusi mesin Terminal One-Pay.

Sepanjang tahun 2010 sebanyak RM26.7 juta zakat telah dikutip melalui ejen kutipan LZS ini.  Penyampaian Anugerah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.