LZS RAI SYARIKAT DAN EJEN KUTIPAN DI MALAM SEJUTA RAHMAT



SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meraikan individu dan syarikat yang memberikan komitmen yang tinggi dalam menyebarkan dakwah zakat dan peningkatan kutipan di sini baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri hampir 160 orang ini dinamakan ‘Malam Sejuta Rahmat’ dirasmikan oleh Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohamad Tamyes Abdul Wahid yang turut menyampaikan anugerah kepada ejen yang cemerlang dalam kutipan zakat.

Program ini bertujuan memberi penghargaan kepada syarikat-syarikat dan ejen kutipan selaku pembayar zakat yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam peningkatan kutipan dan memberikan sepenuh komitmen dalam membantu peningkatan kutipan zakat pada tahun lalu.

Sebanyak enam anugerah disampaikan bagi tujuan penghargaan ini iaitu Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Ejen Bank, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Ejen Kutipan penolong Amil, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Ejen dan Firma Audit, Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Ejen Syarikat dan Ejensi, Anugerah pengurusan Zakat Melalui Kutipan Skim Potongan Gaji dan Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Kutipan Zakat Perniagaan. Setiap anugerah disediakan dua kategori iaitu prestasi kutipan terbaik dan komitmen terbaik.

Anugerah Khas  turut diberikan kepada yang terbaik di antara pemenang-pemang anugerah iaitu Anugerah Umar Al-Khattab (Kategori Bayaran Zakat Skim Potongan Gaji) yang dimenangi oleh Media Prima Berhad, Anugerah Abdul Rahman bin Auf (Kategori Bayaran Zakat Perniagaan) yang dimenangi Lembaga Tabung Haji dan Anugerah Muaz bin Jabal (Kategori Ejen Kutipan Zakat) yang dimenangi Maybank Berhad.

Majlis turut dimeriahkan dengan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Ghazali Ibrahim, Pendakwah Bebas dan persembahan nasyid  oleh Anak-anak asnaf dari Baitul Hasanah, Klang.

Turut hadir Ahli Jawatankuasa Kutipan LZS, Dato’ Syed M. Ghazali Wafa Syed Adwan Wafa dan Pengurus Besar Pejabat Kutipan LZS, Sahadan Ishak.