LZS RAI PENGAMAL MEDIA



SHAH ALAM, 20 Februari 2014 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini meraikan lebih 30 pengamal media daripada pelbagai agensi dalam majlis Santai Media 2014 bertempat di Shah Alam Convention Centre (SACC) sebagai menghargaiusaha pihak media massa yang membantu menyampaikan syiar zakat selama ini kepada masyarakat.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof hadir meraikan wakil-wakil media dan menyampaikan sijil penghargaan.

Dalam ucapan ringkasnya, Mohamed Izam melahirkan penghargaan kepada semua media massa atas peranan yang dimainkan dalam membantu mempromosi dan mendidik masyarakat tentang zakat. Kredibiliti yang ada pada media massa membantu mengubah persepsi masyarakat ke arah yang lebih positif. Malah, dengan informasi yang disalurkan oleh pihak media massa kepada LZS membantu mereka yang memerlukan.

Mohamed Izam turut membentangkan hala tuju LZS kepada wakil media massa yang hadir bagi memberi pendedahan dan pemahaman berkaitan operasi kutipan dan agihan zakat secara keseluruhan di Selangor.

Sementara itu dalam majlis yang sama, LZS menyerahkan bantuan zakat kepada dua penerima. Mereka ialah Mohd Dzakhie Tapseer yang menerima bantuan perubatan berjumlah RM50,000 untuk membiayai rawatan penyakit keradangan sendi dan kulit yang dihadapi serta Happizah Abu Bakar menerima bantuan modal sebanyak RM18,760 untuk perniagaan bengkel membaiki lori.

Turut diadakan sesi perkongsian bersama pembayar zakat, Pengarah Operasi Kawal Wiramas Sdn Bhd, Khaidzer Kedah dan mantan penerima bantuan zakat iaitu Asmiriha Salmo yang pernah menerima bantuan zakat berupa lori bergerak untuk mengusahakan perniagaan aiskrim.

Hadir sama, Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non, Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat, Ariffa Ariffin dan Timbalan Pengurus Besar Agihan, Abdul Basith Hamid.