LZS RAI PENGAMAL MEDIA: TURUT BERI PENGHARGAAN KEPADA PBT, KONSESI TOL



Tarikh : 11/6/2009
Penulis : Editor

SHAH ALAM – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS meraikan pengamal media sebagai menghargai usaha selama ini membantu menyampaikan dakwah zakat kepada masyarakat. Lebih 100 wakil media daripada pelbagai agensi hadir dalam majlis yang di adakan di sebuah hotel di sini pada 4 Jun lalu.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa hadir sebagai tetamu kehormat menyampaikan plak penghargaan kepada pihak media. Turut menerima penghargaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta tujuh konsesi tol.
Mohd Adzib dalam ucapannya berkata jalinan ‘kerjasama pintar’ di antara LZS dan pihak media, PBT serta konsesi tol telah melonjakkan imej dan prestasi LZS ke tahap yang ada seperti hari ini. Beliau turut mengakui peranan ketiga-tiga agensi ini antara faktor semakin ramai umat Islam menunaikan zakat di Selangor.
PBT serta konsesi tol memberi kemudahan dan bantuan kepada LZS bagi aktiviti promosi setiap tahun.
Dalam majlis yang sama, Mohd Adzib turut melancarkan kemudahan tambahan pembayaran zakat melalui potongan gaji atau “Skim Berkat”. Kini pengguna boleh mendapatkan segala maklumat berkaitan skim ini melalui laman sesawang LZS www.zakatselangor.com.my/SkimBerkat termasuk mendapatkan penyata dan muat turun borang.
Pada tahun lalu, LZS telah mengutip RM91.8 juta zakat melalui potongan gaji. Daripada jumlah tersebut, sektor swasta menyumbang RM66.1 juta, kerajaan RM13.2 juta dan badan berkanun RM12.5 juta. Bilangan peserta skim ini pula seramai 93,260 orang bagi bagi ketiga-tiga sektor.
Turut disampaikan bantuan agihan zakat kepada lima orang penerima berjumlah RM114,450.00. Mereka ialah Asmimah Sanusi, Azhar Abdul Aziz, Rohmat Kamari yang menerima bantuan bina rumah baru bernilai RM30,000. Nurazeera Md Suder menerima RM20,000 untuk pembelian alat implan manakala Mat Desa Hashim menerima bantuan kaki palsu bernilai RM4,450.00.
Turut hadir Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Shah Alam, Mazalan Mat Noor dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi), Hj Sahadan Ishak.