LZS RAI KEJAYAAN ASNAF DALAM MAJLIS ANUGERAH CEMERLANG



SHAH ALAM, 23 Jun 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menganjurkan Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang bagi meraikan usahawan asnaf yang telah berjaya di dalam perniagaan dan juga meraikan kejayaan anak-anak asnaf di dalam peperiksaan pada tahun 2011.

Program ini bermatlamat untuk mengiktiraf kejayaan para asnaf zakat di samping memberikan motivasi berterusan kepada mereka untuk terus mengekalkan kejayaan tersebut. Pada masa yang sama, diharap para penerima bantuan zakat yang lain dapat menjadikan kejayaan ini sebagai contoh untuk ditauladani.

Lebih 500 orang hadir pada majlis ini yang terdiri daripada usahawan asnaf dan pelajar anak asnaf. Seramai 30 orang menerima Anugerah Usahawan Cemerlang bagi bidang keusahawanan, manakala seramai 65 orang pelajar pula menerima Anugerah Pelajar Bestari bagi mereka yang cemerlang dalam pelajaran.

Sebanyak lima kategori utama usahawan dan para penerima anugerah dipilih berdasarkan ketekunan, pertambahan pendapatan, aspek kekeluargaan dan penglibatan diri mereka dalam masyarakat. Bagi Usahawan Terbaik Kategori Perniagaan Makanan, ia disandang oleh Muhamad Burham Salikon yang mengusahakan restoran; Usahawan Terbaik Kategori Perniagaan Mobile (Mohd Yatim Ab Ghani yang mengusahakan perniagaan makanan bergerak) dan Usahawan Terbaik Kategori Perniagaan Perkhidmatan (Sharifah Surit yang mengusahakan kedai jahitan).

Usahawan Terbaik Kategori Perniagaan Peruncitan dan Pembuatan pula disandang oleh Sheikh Abd Rahim Sheikh Yahya yang mengusahakan perniagaan pakaian dan Usahawan Terbaik Kategori Perniagaan Asas Tani telah dianugerahkan kepada Sakilla Hanis Mohamed yang mengusahakan ladang orkid.

Turut disampaikan anugerah khas iaitu Anugerah Keluarga Cemerlang, yang mengambil kira aspek kejayaan asnaf dalam memajukan dirinya sehingga dapat keluar daripada senarai penerima bantuan dan juga kejayaan anak-anak dalam akademik dan ia dianugerahkan kepada Basri Lambak.

Bagi Anugerah Pelajar Bestari, seramai 18 orang terdiri daripada mereka yang memperolehi keputusan cemerlang 5A di dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Mumtaz di dalam Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA) menerima anugerah. Manakala bagi Penilaian Menengah Rendah (PMR) seramai 32 orang yang mendapat keputusan 9A telah menerima anugerah yang sama.

Bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), seramai 10 orang mendapat anugerah kerana memperolehi 10A dan 11A. Manakala bagi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), tiga orang menerima anugerah berikutan pencapaian Mumtaz di dalam peperiksaan dan diikuti seorang sahaja penerima anugerah bagi Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang mendapat keputusan 4A.

Bagi anugerah keseluruhan, Nurul Adha Jamaludin telah menerima Anugerah Pelajar Bestari 2011 berikutan kecemerlangan beliau dalam akademik dan juga ketrampilan dalam bidang ko-kurikulum.

Pada majlis yang sama, LZS turut menerima pembayaran Zakat Perniagaan daripada dua orang usahawan asnaf, iaitu Sakilla Hanis Mohamed berjumlah RM1,390.00 dan Sheikh Abd Rahim Sheikh Yahya berjumlah RM500.00.

Anugerah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof. Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar Agihan, Adibah Abdul Wahab.