LZS RAI KEJAYAAN ASNAF DALAM MAJLIS ANUGERAH ASNAF CEMERLANG



SHAH ALAM, 22 Jun 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) meraikan usahawan berjaya dalam perniagaan dan anak-anak asnaf cemerlang dalam peperiksaan di Majlis Anugerah Asnaf Cemerlang 2013 yang diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini hari ini.

Majlis dihadiri 500 orang asnaf ini bertujuan memberi pengiktirafan atas kejayaan para asnaf zakat di LZS. Pada masa yang sama, pengiktirafan ini memberikan motivasi kepada mereka untuk mengekalkan kejayaan tersebut, di samping menjadi contoh kepada asnaf yang lain.

Sebanyak lima anugerah utama Usahawan Cemerlang daripada pelbagai kategori diberikan kepada penerima bantuan modal LZS, berdasarkan ketekunan dalam perniagaan selain peningkatan pendapatan.

Bagi anugerah Usahawan Cemerlang kategori makanan, diberikan kepada Noraliza Mohd Ghani yang mengusahakan perniagaan karipap besar, sementara Usahawan Cemerlang kategori makanan (mobile) dianugerahkan kepada Nor Zaiton Hassan. Pengusaha taska, Ahmad Safari Tauran pula mendapat anugerah Usahawan Cemerlang kategori perkhidmatan dan Shamsiah Tuah yang menjalankan perniagaan kedai cermin mata mendapat anugerah Usahawan Cemerlang kategori Peruncitan. Mohammad Ali Othman yang merupakan seorang nelayan pula menerima anugerah Usahawan Cemerlang kategori asas tani.

Manakala, 32 orang usahawan asnaf berdaya saing turut menerima anugerah Usahawan Wawasan sebagai pengiktirafan atas usaha mereka.
Bagi Anugerah Keluarga Harapan diberikan kepada Suhana Ahmad  yang merupakan penerima bantuan modal yang gigih berusaha mengeluarkan keluarga daripada kemiskinan serta mempunyai anak-anak cemerlang dalam akademik.

Dalam pada itu, seramai 72 orang anak-anak asnaf fakir dan miskin yang berjaya dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Sekolah Rendah Agama (PSRA), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia menerima Anugerah Pelajar Cemerlang.
Sementara Anugerah Pelajar Bestari, diberikan kepada Muhammad Asyraf Mahat yang memperoleh keputusan 10A dalam SPM lalu. Beliau kini sedang menuntut di Universiti Malaya dalam kursus kejuruteraan.

Pada majlis yang sama, LZS turut menerima pembayaran zakat perniagaan daripada tiga usahawan asnaf zakat, iaitu Shamsul Kamal Mohamed (pengusaha bengkel kereta), Ahmad Safari Tauran (pengusaha taska) dan Shamsiah Tuah (perniagaan kedai cermin mata).

Hadir sama dalam majlis ini ialah, Pengerusi LZS, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail, Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Mohd Shahari Ahmad Jabar dan Dato’ Siti Maslamah Osman. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof.

Leave a Reply