LZS RAI EJEN KUTIPAN ZAKAT: BANTU MUDAHKAN URUSAN PEMBAYARAN ZAKAT



Tarikh : 6/30/2010
Penulis : editor

SHAH ALAM, 29 Jun 2010-Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengadakan Majlis Anugerah Ejen Kutipan Zakat 2010 di sini hari ini bagi menghargai peranan dan kerjasama ejen kutipan zakat dalam memudahkan urusan pembayaran zakat di Selangor.

Majlis yang disertai lebih 70 orang wakil ejen kutipan zakat ini juga bertujuan merapatkan hubungan silaturahim di antara LZS dengan ejen-ejen kutipan zakat. Di majlis ini juga 12 anugerah diberikan kepada ejen-ejen kutipan zakat yang berjaya mencapai kutipan zakat tertinggi, jumlah pembayar zakat tertinggi dan prestasi peningkatan kutipan zakat tertinggi di sepanjang tahun 2009.

Penyampaian Anugerah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof. Menurut beliau di dalam ucapannya, sepanjang tahun 2009, sebanyak RM22.56 juta zakat berjaya dikutip melalui ejen yang dilantik.

Sehingga kini LZS melantik 62 ejen kutipan zakat semenjak tahun 1997 yang terdiri daripada 15 bank utama, Pos Malaysia, 28 ejen cukai serta sembilan firma audit. Manakala empat IPTA pula ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa (UIA) serta Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Turut dilantik Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor (DPMMS), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Celcom, As-Salihin Trustee serta Mobility One, syarikat yang menyediakan kemudahan bayaran zakat di stesen Petronas.

Melalui ejen kutipan zakat ini pelbagai kemudahan disediakan antaranya pembayaran zakat melalui perbankan internet, perbankan telefon, sms, kaunter-kaunter bank dan pos, mesin ATM, kad kredit serta kad debit. Manakala di stesen minyak Petronas orang ramai boleh membayar zakat menerusi mesin Terminal One-Pay.

Untuk keterangan lanjut sila hubungi:
Noormala Mohd Saad,
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat
Tel: 019 3880 524 / 03 55227718
Hamizul Abdul Hamid,
Ketua Unit Perhubungan Awam
Tel: 019 388 0528 / 03 5522 7716