LZS PERUNTUKAN RM784 RIBU UNTUK TAKAFUL GURU KAFA



Tarikh : 3/1/2010
Penulis : editor

Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM784,000 setahun kepada 6,236 guru-guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seluruh Selangor untuk manfaat perlindungan dan simpanan takaful yang disediakan oleh Takaful Berhad. Majlis perasmian dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Mohammed Khusrin Munawi baru-baru ini.

Insentif tersebut dilihat sebagai penghargaan kepada para guru KAFA di Selangor yang selama ini gigih melaksanakan tugas murni demi pembangunan Islam. Ia juga sebagai nilai tambah kepada guru KAFA yang turut menerima bantuan agihan sebanyak RM10 juta pada tahun lepas.

Premium sebanyak RM10 sebulan merupakan kesinambungan usaha LZS sebelum ini yang turut menyediakan caruman takaful berkelompok kepada asnaf fakir dan miskin. Peruntukan kepada guru KAFA ini diperoleh daripada agihan asnaf fisabilillah.

Melalui kemudahan ini, guru-guru terbabit layak menikmati ganjaran antaranya kos untuk penyakit kritikal sehingga RM10,000, rawatan di hospital sebanyak RM30 sehari dan pampasan kematian antara RM20,000 hingga RM40,000.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Etiqa Berhad, Dato’ Aminuddin Md Desa dan Timbalan Pengurus Besar (Operasi) LZS, Sahadan Ishak.