LZS PERJELAS ISU ‘LUMPUH AKIBAT SALAH SUNTIK’



SHAH ALAM 17 Mac 2012 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita berkenaan yang tersiar di akhbar Sinar Harian pada 9 Mac 2012. Menurut berita berkenaan, pengadu yang bernama Asrolnizam Bin Abdul Rahman, 35 menyatakan beliau amat memerlukan bantuan bagi menyara kehidupannya akibat penyakit lumpuh yang dihidapinya.

Sehubungan itu, LZS telah mengambil tindakan segera dengan menghantar pegawai pada hari yang sama ke rumah beliau. Hasilnya, LZS mendapati bahawa, beliau sememangnya layak menerima bantuan zakat dan akan didaftarkan sebagai asnaf miskin.

Justeru itu, antara bantuan segera yang sedang diuruskan oleh LZS ialah, menjelaskan tunggakan sewa rumah beliau yang berjumlah RM3,600.00. Memandangkan beliau juga tinggal sendirian dan tiada pendapatan, maka LZS juga mempertimbangkan untuk menyalurkan lain-lain bantuan yang diperlukan oleh beliau dari semasa ke semasa.