LZS PERJELAS ISU ‘LELAKI TANGGUNG 10 ADIK IPAR RAYU BANTUAN’



Shah Alam, 6 Jan 2012 – Berikut adalah maklum balas Lembaga Zakat Selangor (LZS) terhadap berita ‘Lelaki Tanggung 10 Adik Ipar Rayu Bantuan’ yang tersiar di akhbar Kosmo! pada 4 Januari 2012. Menurut berita berkenaan, pengadu yang bernama Mohd. Tharmizi Abdul Salim, 32 menyatakan beliau amat memerlukan bantuan zakat bagi menyara tiga anak dan 10 adik iparnya.

LZS amat prihatin dengan aduan yang telah disampaikan. Walau bagaimanapun, berdasarkan siasatan dan bancian awal LZS pada pertengahan tahun 2011 dan dilakukan sekali lagi pada 4 Januari 2012, didapati penama berkenaan tidak menepati kriteria untuk dikategorikan sebagai asnaf miskin. Ini kerana, pendapatan beliau adalah melebihi daripada garis had al-kifayah (had minima kecukupan) sebagaimana yang ditetapkan oleh LZS.

Justeru itu, pihak LZS kini sedang menguruskan bantuan pendidikan kepada adik-adik iparnya, di bawah Bantuan Umum Pelajaran LZS.

Sekian, terima kasih.

NORAJUN AINUN MOHD. HASHIM
Pengurus Komunikasi Korporat