LZS PANTAU PENGAGIHAN ZAKAT: PASTIKAN PEMOHON LAYAK TERIMA BANTUAN



SHAH ALAM, 14 September 2014-Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan terus memantau pengagihan wang zakat dengan pengawasan melalui siri-siri pengauditan oleh enam pihak termasuk SIRIM dan Jabatan Audit Negara bagi memastikan urus tadbir dilakukan secara adil, telus dan amanah, serta hanya pemohon yang layak mendapat bantuan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali berkata, berdasarkan rekod LZS bagi tahun 2014 sebanyak 157,032 permohonan bantuan telah diterima dan diproses, di mana 6,753 permohonan terpaksa ditolak atas pelbagai sebab.

Bagaimanapun beliau tidak menafikan, wujud beberapa isu pertindihan dan ketidaktelusan memberi maklumat oleh pemohon sewaktu permohonan, ketua keluarga yang tidak amanah serta tidak menyalurkan wang zakat kepada isteri dan anak menyebabkan LZS terpaksa mengambil langkah lebih teliti dengan menyemak latar belakang, menyiasat dan memantau pengagihan wang zakat bagi sesebuah keluarga.

“Pihak LZS akan menyaring dan menolak permohonan sekiranya didapati tidak layak. Siasatan serta penilaian akan dibuat dan agihan zakat perlu dilaksana mengikut hukum syarak dan bukan sewenang-wenangnya diberi kepada yang tidak berhak,” katanya.

Pihak LZS turut menerima beberapa aduan berhubung nama dan maklumat peribadi asnaf digunakan pihak luar yang tidak bertanggungjawab untuk mendapat bantuan zakat, namun kes berkenaan adalah terpencil dan tindakan telah diambil pada peringkat awal.

Tambahnya lagi, LZS sentiasa proaktif membantu golongan terutama fakir dan miskin dengan menyediakan banyak saluran bagi individu atau keluarga mendapatkan bantuan zakat.

Ini termasuk dengan membuka 26 cawangan LZS di seluruh Selangor, kaunter mini zakat di setiap daerah, kaunter bergerak, kaunter ekspres agihan zakat, Skuad Jejak Kemiskinan (SJK), serta mewujudkan medium saluran maklumat melalui Talian Zakat Selangor, Facebook LZS dan aplikasi telefon pintar Ezakat.

“Bagi SJK yang dimulakan sejak 2011, LZS telah turun padang untuk mengenal pasti asnaf fakir dan miskin  yang belum berdaftar tetapi memerlukan bantuan zakat. Pada tahun 2014, sebanyak 830 keluarga asnaf fakir dan miskin baru telah dikesan melalui program tersebut.”

“Sehubungan itu, bagi memastikan mereka yang berhak menerima bantuan, kami menyeru agar masyarakat bersama-sama membantu untuk menyalurkan maklumat mengenai individu atau keluarga yang memerlukan, agar mereka dapat disantuni dengan zakat.”