LZS MELANCARKAN PRODUK ZAKAT SAHAM



SHAH ALAM, 19 Jun 2013 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperkukuhkan lagi promosi zakat saham melalui Pelancaran Zakat Saham yang disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa, di hadapan 80 orang warga korporat di Program Bicara Korporat di sini hari ini.

Serentak dengan itu juga, LZS mula mempergiatkan promosi zakat saham pada tahun ini dengan konteks yang lebih meluas menggunakan motto ‘Saham Dunia, Saham Akhirat’.

Sebelum ini, kebanyakan para pelabur Muslim kurang didedahkan dengan zakat saham secara terperinci, sedangkan sektor pelaburan pada masa ini lebih kompleks dengan pelbagai variasi.

Justeru itu, LZS mengambil inisiatif menjadi institusi zakat pertama di Malaysia mengemas kini  panduan kiraan zakat saham dan pelaburan dengan wujudnya Warta Fatwa Zakat Pelaburan Saham pada 31 Mac 2011.

Dengan pelancaran ini, ia dilihat sebagai satu anjakan baru dalam konteks zakat saham dan mampu mengubah kefahaman pelabur runcit yang melabur di Bursa Malaysia ataupun pasaran modal luar negara agar mendahulukan kewajipan zakat saham sebagai satu tanggungjawab.

Pada tahun 2012, sebanyak RM7.7 juta dikutip melalui kutipan zakat saham dan pada tahun ini LZS mensasarkan kutipan zakat saham meningkat 10 peratus menjadi RM8.5 juta melalui kempen yang diadakan berterusan pada tahun ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Pengurus Besar Kutipan, Roszy Non.

Leave a Reply