LZS (MAIS) MODEL PENGURUSAN ZAKAT-NAWAWI



Shah Alam – “Kejayaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dalam menguruskan kutipan dan pengagihan zakat di Negeri Selangor telah menarik perhatian kami untuk menjadikan LZS (MAIS) sebagai model dalam pengurusan zakat di wilayah kami,” menurut ketua delegasi Pengerusi Majlis Ulama Indonesia, Tengku Drs. Nawawi semasa kunjungan mereka ke sini baru-baru ini.

Delegasi dari Provinci Naggroe Acheh Darussalam Indonesia, itu disertai seramai 30 orang telah diberikan taklimat dan penerangan terperinci selama dua jam oleh Pemangku Pengurus Jabatan Pembangunan Korporat, Akhtar Sahari tentang hala tuju LZS (MAIS) dalam meningkatkan syiar zakat bukan sahaja di Selangor amnya, tetapi juga di seluruh Malaysia khususnya.

Dalam taklimat tersebut, mereka turut telah diberi pendedahan tentang konsep dan bentuk pengagihan zakat yang dijalankan di Negeri Selangor.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar LZS (MAIS), Haji Ahmad Shahir Makhtar.