LZS (MAIS) TINGKAT KERJASAMA DENGAN SWASTA



Shah Alam – Majlis Mesra Majikan (Swasta) anjuran Lembaga Zakat Selangor (MAIS) yang diadakan baru-baru ini dilihat berjaya meningkatkan kerjasama antara LZS (MAIS) dengan pihak majikan swasta dalam memastikan keberkesanan dakwah zakat di Negeri Selangor.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa itu telah dihadiri lebih 120 kakitangan syarikat swasta. Ia diadakan bertujuan meraikan dan memberi pengiktirafan kepada pihak majikan swasta yang selama ini telah membantu usaha LZS (MAIS) di Selangor.

LZS (MAIS) turut memperkenalkan kaedah baru kepada majikan yang dikenali ‘MUDAH’ bagi membantu menaksir zakat kakitangan majikan swasta di Negeri Selangor. Melalui kaedah ini, pihak majikan boleh mendapatkan bantuan secara langsung daripada LZS (MAIS) bagi menentukan jumlah zakat kakitangan mereka.

Dalam masa yang sama, LZS (MAIS) turut memberi hadiah penghargaan kepada majikan swasta terbaik mengikut wilayah. Hadiah penghargaan tersebut diberikan kepada Tenaga Nasional Bhd (ibu pejabat), Sony EMCS (M) Sdn Bhd (Wilayah Selatan) dan Texas Instruments (M) Sdn Bhd (Wilayah Timur). Sementara Sistem Televisyen Malaysia Bhd telah mendapat dua kategori penghargaan iaitu hadiah penghargaan khas majikan terbaik keseluruhan dan hadiah penghargaan khas majikan terbaik (Wilayah Barat).

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengurus Besar LZS (MAIS), Tuan Haji Ahmad Shahir Makhtar dan Pengurus Besar Hiburan, Sukan dan Rekreasi TV3, Encik Azhar Borhan.