LZS (MAIS) TINGKAT KEMPEN SERU 53 RIBU KAKITANGAN KERAJAAN SERTAI SKIM POTONGAN GAJI



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS akan meningkatkan lagi usaha dakwah kepada lebih 53 ribu orang kakitangan beragama Islam yang layak membayar zakat bagi menambah jumlah kakitangan kerajaan di Selangor yang masih belum berbuat demikian supaya menyertai skim bayaran zakat melalui potongan gaji.

Usaha dibuat melalui penguatkuasaan pelaksanaan pemotongan gaji secara automatik seperti yang terkandung di dalam surat pekeliling yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan negeri sebagaimana yang diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor pada 10 Disember 2003 MMK ke 27/2003.

Berdasarkan ketetapan tersebut, Pekeliling Penetapan Perlaksanaan Arahan Wajib Pembayaran Zakat Pendapatan Menerusi Potongan Gaji adalah diwajibkan bagi kakitangan kerajaan, badan berkanun, anak-anak syarikat kerajaan negeri yang beragama Islam berkhidmat di negeri Selangor.

Pelaksanaan ini berdasarkan amaun yang ditaksir oleh LZS (MAIS), kecuali kakitangan memilih kaedah lain dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan pekeliling.

Ketika ini lebih 53 ribu orang kakitangan beragama Islam yang layak membayar zakat, masih belum berbuat demikian.

Pada tahun lalu (2005) terdapat seramai 27, 620 orang kakitangan awam yang menyertai skim ini dengan jumlah kutipan sebanyak RM9.25 juta, meningkat 107 peratus berbanding tahun sebelumnya (2004).

Namun begitu, pada tahun ini LZS (MAIS) mensasarkan kenaikan sekitar 20 peratus, iaitu pertambahan seramai 5,500 orang. Pada tahun 2005, kakitangan kerajaan baru menerima arahan pekeliling secara berperingkat dan sambutan yang diberikan sungguh menggalakkan.