LZS (MAIS) TERIMA RM1.14 JUTA ZAKAT PERNIAGAAN



Tarikh : 6/26/2009
Penulis : Editor

SHAH ALAM, 25 Jun 2009 – Lapan syarikat menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM1,140,421.72 kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang diwakili oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap, Hal-Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali dalam satu majlis di sini.

Syarikat tersebut ialah Tenaga Nasional Berhad sebanyak RM694,156.50, Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd (RM120,210.20), Universiti Tun Abdul Razak (RM 116,950.00), Bank Simpanan Nasional (RM100,000.00) dan MS Time Ventures Sdn Bhd (RM52,790.59). Manakala Jalur Cahaya Sdn Bhd, Persatuan Nelayan Kawasan Sg. Besar dan Menawar Perkhidmatan Landskap Sdn Bhd masing-masing sebanyak RM50,000.00, RM3,594.60 dan RM2,719.83.

Dalam majlis yang sama, LZS turut mengagihkan bantuan zakat kepada dua individu dan institusi berjumlah RM56,610.40. Mereka ialah Surau Asy-Syakirin yang menerima bantuan baik pulih berjumlah RM25,000 dan Sekolah Agama Menengah Paya Jaras menerima bantuan sumbangan peralatan sekolah berjumlah RM10,000.

Manakala dua individu yang menerima bantuan ialah Mohamad Arif Bin Samsudin yang menerima bantuan perubatan sebanyak RM14,610.40 dan Anwar Khan Bin M.A Aziz Khan yang menerima bantuan menampung kos pembedahan membuang ketumbuhan di belakang badannya berjumlah RM7,000.00.

Sementara itu, LZS (MAIS) turut menyampaikan penghargaan kepada ejen firma audit dan percukaian yang memperoleh kutipan zakat dan pembayar zakat tertinggi sepanjang tahun 2008, LTAX Secretarial Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengurus, Mohamad Astura Yusop.

Turut hadir Pengurus Besar LZS, Ahmad Shahir Makhtar.