LZS (MAIS) TERIMA LEBIH RM600 RIBU ZAKAT PERNIAGAAN



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) menerima zakat perniagaan daripada enam entiti korporat berjumlah RM629,613.34 dalam satu majlis pembayaran zakat yang diadakan di sini baru-baru ini.

Pengerusi LZS (MAIS), Dato’ Setia Hj. Mohamad Adzib Mohd Isa telah menerima zakat-zakat tersebut daripada Bank Islam Berhad sebanyak RM309,550, Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Selangor sebanyak RM150,063.34 dan Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd berjumlah RM100,000.

Manakala Bakti Suci Properties Sdn Bhd pula menyerahkan zakat perniagaannya sebanyak RM50,000, Bakti Suci Trading Sdn Bhd berjumlah RM15,000 dan Pertubuhan Peladang Kawasan Sg. Besar menyerahkan zakat perniagaannya berjumlah RM5,000.

Turut diadakan dalam majlis tersebut ialah sesi percambahan minda yang bertajuk ‘Mekanisme Agihan Zakat di Negeri Selangor’ disampaikan oleh Pengurus Besar LZS (MAIS), Tn. Hj. Ahmad Shahir Makhtar.

Sesi dialog bertajuk ‘Zakat Perniagaan: Di Antara Manifestasi Iman & Penguatkuasaan Undang-Undang’ turut diadakan dengan mengundang panelis terdiri daripada Pensyarah Jabatan Syariah & Undang-undang Universiti Malaya merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS (MAIS), Prof. Datuk Dr. Abdul Monir Yaacob, Pengarah Kewangan UKM Holdings Sdn Bhd, Prof. Madya Syed Mohd Ghazali Wafa Syed Adwam Wafa dan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia, En. Abd. Aziz Abu Bakar.