LZS (MAIS) TAJA 226 PELAJAR MISKIN



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS mengambil inisiatif dengan memberi tajaan percuma kepada 226 orang pelajar fakir miskin di Selangor untuk melanjutkan pelajaran di INPENS baru-baru ini.

Para pelajar tersebut akan mengikuti kursus kemahiran di peringkat Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan (MLVK) dalam lima buah kursus terpilih iaitu Pelukis Plan Kejuruteraan Mekanikal, Pembuat Pakaian Wanita, Mekanik Kenderaan Motor, Juruteknik Elektrik Rendah dan Pembantu Juruteknik Sistem Komputer.

Menurut Ketua Unit Pembangunan Pendidikan LZS (MAIS), Nasri Che On, pemberian tajaan sebanyak RM5,000 setahun ini meliputi yuran kursus, tempat tinggal, belanja makan dan elaun poket bulanan bagi para pelajar. Tambahnya lagi, “Tajaan ini diberikan kepada pelajar yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat IPT agar dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran.

Selain itu juga LZS (MAIS) akan memantau mereka terutama dari segi pencapaian dan prestasi pelajaran dari semasa ke semasa agar para pelajar ini bijak peluang yang diberikan sebaik-baiknya.”

INPENS merupakan kolej pertama yang dipilih untuk menempatkan pelajar tajaan LZS (MAIS) selain tiga buah kolej lagi iaitu Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS), Institut Profesional Baitulmal (IPB) dan Universiti Industri Selangor (UNISEL)