LZS (MAIS) SUMBANG BANTUAN MODAL PERNIAGAAN UNTUK 30 ASNAF



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah menyumbangkan sebanyak RM172,140 kepada 30 orang asnaf miskin dalam bentuk bantuan modal perniagaan yang telah disampaikan oleh Ahli EXCO Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia & Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Hj. Abd. Rahman Hj. Palil sewaktu majlis perasmian Karnival Kumpulan Asnaf Zakat baru-baru ini.

Daripada 30 asnaf yang menerima bantuan tersebut, lima daripada mereka adalah asnaf mualaf. Setiap asnaf menerima antara RM2,500 hingga RM12,000 bergantung kepada jenis perniagaan yang dijalankan. Antara perniagaan yang dijalankan oleh asnaf yang menerima bantuan ini termasuklah perniagaan makanan, runcit, membaiki kenderaan, jahitan, ternakan dan lain-lain lagi.

Salah seorang penerima bantuan yang ditemui, Naizah Mohamad, 43 menyatakan rasa bersyukur dan terima kasih atas bantuan yang diterima ini. “Saya akan menjadikan modal ini sebagai semangat untuk saya memajukan diri dan keluarga. Insya-Allah saya akan menggunakan ia sebaik-baiknya,” ujarnya yang mendapat bantuan sebanyak RM5,000 sebagai modal membuka kedai basikal.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Hj. Abd. Rahman juga turut menerima pembayaran zakat daripada salah seorang bekas asnaf Mohd Tohid Sidek, 41. Tohid merupakan pengusaha bahulu dan kerepak yang telah bebas daripada golongan asnaf dan membayar zakat sejak dua tahun yang lalu. Beliau juga pernah memenangi anugerah Usahawan Terbaik Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat (KUAZ) 2005 (keseluruhan) dalam Konvensyen Asnaf Zakat LZS (MAIS) lalu.