LZS (MAIS) SERTAI MISI BANTUAN BANJIR KE JOHOR



Johor – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dan pelbagai agensi negeri Selangor telah menyertai misi Bantuan Banjir Ke Johor bertujuan menyampaikan bantuan secara terus kepada mangsa banjir di daerah Batu Pahat meliputi kawasan Rengit dan Senggarang, di sini pada 27 Januari lalu.

Bantuan berbentuk keperluan harian itu antaranya pek bantuan berupa makanan, tikar dan dapur gas diberikan kepada setiap mangsa berjumlah hampir RM100,000.

Misi yang diketuai oleh Sahibus Samahah Dato’ Setia Hj. Mohd. Tamyes Hj. Abd. Wahid, Mufti Kerajaan Negeri Selangor mewakili YB Dato’ Abdul Rahman Palil, Pengerusi Jawatankuasa Agama, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor disertai kira-kira 100 orang peserta.

Mereka terdiri daripada LZS (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Jabatan Pertahanan Awam (JPA-3) dan syarikat milik kerajaan negeri Selangor, World Wide Holding Berhad. Turut serta membuat liputan secara langsung sepanjang misi itu ialah radio IKIM. FM.

Di dalam ucapannya, Sahibus Samahah Dato’ Setia Hj. Mohd. Tamyes Bin Hj. Abd. Wahid berkata, misi ini bertujuan menzahirkan ukhuwwah yang menjadi asas kekuatan umat Islam. Beliau menegaskan bahawa, negeri Selangor sentiasa prihatin dengan perkembangan umat Islam di Johor yang ditimpa musibah banjir ini.

Semasa membalas ucapan menerima kunjungan delegasi negeri Selangor, Sahibus Samahah YB Dato’ Noh Gadot, Mufti Kerajaan Negeri Johor yang mewakili kerajaan negeri, amat berterima kasih dengan keprihatinan dan kesanggupan agensi kerajaan negeri Selangor membantu mereka.

“Diharap misi ini bukanlah yang terakhir memandangkan keupayaan negeri Selangor menjana kutipan zakat melebihi RM159 juta pada tahun 2006, pasti membolehkan pihak negeri Selangor terus menghulurkan bantuan jika diperlukan pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa banjir ini juga adalah peringatan daripada Allah S.W.T agar umat Islam kembali bermuhasabah dan mendekatkan diri kepada-Nya.

Sebelum ini LZS (MAIS) telah menyerahkan bantuan berbentuk wang tunai kepada kerajaan negeri Johor berjumlah RM200,000 bagi membantu mereka menangani dugaan yang diterima.