LZS (MAIS) SEDIA RM3.23 JUTA BANTU ANAK FAKIR MISKIN MULAKAN SESI PERSEKOLAHAN



Shah Alam – Seramai 16, 143 orang pelajar sekolah rendah dan menengah daripada anak-anak asnaf fakir dan miskin akan menerima bantuan persekolahan bernilai RM3.23 juta daripada Lembaga Zakat Selangor (MAIS).

Program bantuan yang bertemakan ‘Jom Kembali Ke Sekolah’ ini adalah sebagai persediaan anak-anak ini untuk memulakan sesi persekolahan 2007.

Bantuan berbentuk pakaian sekolah serta wang tunai antara RM100 hingga RM500 untuk pembiayaan yuran akan disampaikan di dalam 29 siri penyampaian di seluruh negeri Selangor bermula 29 November sehingga 24 Disember.

Program tersebut telah dilancarkan oleh Pegawai Tadbir Agama Daerah Petaling, Ustaz Mohd Nawi Abu Bakar yang mewakili Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohammed Khusrin Munawi.

Berucap pada pelancarannya, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohammed Khusrin Munawi menyeru agar para ibu bapa memanfaatkan wang zakat yang diberi dengan sebaik-baiknya dengan membeli keperluan pembelajaran seperti alatulis dan buku-buku latihan selain menjelaskan yuran kepada pihak sekolah. Beliau turut menyampaikan bantuan kepada 94 orang murid dari sekitar Shah Alam di sini.

Dalam konteks lebih besar, beliau turut membayangkan komitmen berterusan LZS (MAIS) bagi menjamin keperluan pendidikan anak-anak ini dengan membina kompleks asrama yang lengkap. Untuk tujuan itu, sebanyak hampir RM8 juta telah diluluskan bagi pembinaannya dan dijangka siap pada tahun 2008.

Turut hadir Pengurus Jabatan Pembangunan Korporat LZS (MAIS), Sahadan Ishak dan Pengurus Jabatan Agihan dan Pembangunan Ummah LZS (MAIS), Zulkifli Abdul Hamid