LZS (MAIS) SAMPAI SUMBANGAN KEPADA BAKAL HAJI



Tarikh : 10/28/2008
Penulis : zool; Gambar: Bahrin (UPRO JAIS)

Klang – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah menyampaikan sumbangan kepada 62 orang bakal haji dalam majlis menghadap DYMM Sultan Selangor di Istana Alam Shah, di sini pada 19 Oktober.

DYMM Sultan Selangor telah berkenan menyampaikan sumbangan tersebut yang berupa kain ihram, buku Panduan Haji dan Umrah, beg beserta mafla kepada bakal haji lelaki dan telekung kepada bakal haji wanita.

Daripada jumlah tersebut seramai lima orang bakal haji telah menerima anugerah menunaikan haji daripada DYMM Tuanku dan dua orang oleh Kerabat DiRaja Selangor dan Dato’-Dato’ DiRaja Selangor.

LZS (MAIS) juga tidak ketinggalan menganugerahkan anugerah tajaan haji kepada tiga orang kakitangannya. Ini merupakan tahun pertama LZS (MAIS) menganugerahkan anugerah tersebut sebagai menghargai kakitangan dan mengikut jejak kerajaan negeri Selangor dan ejensi kerajaan yang lain.

Selain itu, seramai 22 orang penjawat awam Negeri Selangor turut menerima anugerah yang sama daripada Kerajaan Negeri Selangor. Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga turut mengikut jejak Kerajaan Negeri Selangor apabila turut memberi anugerah yang sama kepada kakitangan masing-masing dengan MBPJ menganugerahkan kepada 15 orang dan MPAJ seramai tiga orang.

Selain daripada itu, 10 orang jawatankuasa masjid karyah di negeri selangor terdiri daripada Nazir, Imam, Bilal dan Siak juga turut bertuah apabila menerima anugerah yang sama daripada Majlis Agama Islam Selangor.

Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Besar Selangor, Tan Sri Dato’ Abdul Khalid Ibrahim; EXCO Hal Ehwal Islam Negeri Selangor, Dato’ Haji Hassan Mohamed Ali; Pengerusi MAIS, Dato’ Setia Haji Mohd Adzib bin Mohd Isa, dan Pengarah, Jabatan Agama Islam Selangor, Dato’ Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi.

Sementara itu, LZS (MAIS) turut menyumbangkan sebanyak 5000 buku Panduan Haji dan Umrah, beg dan mafla kepada bakal haji di Selangor semasa krusus Haji Perdana yang diadakan di Masjid Negeri, Shah Alam baru-baru ini.