LZS (MAIS) LANCAR PEMBAYARAN ZAKAT GUNA FPX



Petaling Jaya – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah melangkah setapak lagi di dalam menambah baikkan pembayaran zakat melalui internet apabila melancarkan kemudahan Financial Process Exchanges (FPX) dalam satu perkongsian bijak dengan Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) di sini pada 30 Mei.

Majlis pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Jabatan Perdana Menteri, Mohd Zakri Husain, yang mewakili Menteri di Jabatan perdana Menteri, Y.B Datuk Dr. Abdullah Md Zin.

FPX merupakan kaedah pembayaran melalui Internet yang membolehkan permintaan transaksi pembayaran zakat ditukar dan disalurkan antara Bank Islam dan LZS (MAIS). Melalui kaedah ini orang ramai boleh membayar zakat melalui laman web LZS (MAIS) www.zakatselangor.com.my.

Menurut Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar, LZS (MAIS) sentiasa komited di dalam menambah baikkan kepelbagaian kaedah pembayaran zakat.

“Ini membolehkan para pembayar zakat mempunyai banyak pilihan untuk membuat pembayaran di dalam menunaikan ibadah wajib ini,” jelas beliau lagi.

Turut hadir pada majlis tersebut Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, YAD Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dan Mufti Selangor, YAD Dato’ Setia Haji Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Hadir sama Ahli Dewan Diraja Selangor, YAD Tengku Seri Wangsa Diraja, Tengku Dato’ Ramli Al-Haj Tengku Shahruddin Shah Al-Haj dan Orang Besar Daerah Petaling YAD Dato’ Seri Indah Diraja, Dato’ Haji Abu Bakar Abd Hamid.