LZS (MAIS) HIMPUN USAHAWAN ASNAF



Shah Alam – Buat julung-julung kalinya Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS berjaya menghimpunkan usahawan-usahawan daripada kalangan asnaf dalam Karnival Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat yang telah berlangsung bermula dari 30hb Jun hingga 2hb Julai di Perkarangan Wisma MAIS, Seksyen 3.

Karnival tersebut telah dirasmikan oleh Ahli EXCO Negeri Selangor merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia & Mesra Rakyat, Y.B Dato’ Hj. Abd. Rahman Hj. Palil yang mewakili Menteri Besar Selangor, Y.A.B Dato’ Seri Dr. Hj. Mohamad Khir Toyo.

Dalam ucapannya, beliau menyeru asnaf fakir dan miskin agar merebut peluang yang disediakan oleh kerajaan dan juga bantuan daripada LZS (MAIS) bagi memajukan diri sendiri. Bantuan yang diberikan ini seharusnya digunakan dengan bijak serta diiringi dengan kesungguhan dan kemahuan agar apa yang diimpikan itu dapat direalisasi.

Pelbagai jenis produk yang dipasarkan oleh para usahawan daripada golongan miskin produktif semasa karnival termasuklah makanan tradisional, kraftangan, pembuatan, pertanian dan tekstil. Para pengunjung juga turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik sepanjang karnival berlangsung seperti Forum Perdana bertajuk ‘Harta Berkat, Keluarga Bahagia’, Pertandingan Gubahan, Pertandingan Nasyid, demonstrasi Gubahan Kraf Kertas Surat Khabar dan sebagainya.

Dalam masa sama, Y.B Dato’ Hj. Abd. Rahman juga turut merasmikan tiga buah kedai milik ahli Kumpulan Usahawan Asnaf Zakat (KUAZ) iaitu D’Asnaf Edar, Dobi Point dan Deli3. Ketiga-tiga kedai ini merupakan antara produk agihan yang berjaya dilahirkan oleh asnaf zakat melalui bantuan yang diberikan oleh LZS (MAIS).

KUAZ merupakan kumpulan usahawan asnaf fakir dan miskin yang dikenal pasti mempunyai kemampuan dan keinginan untuk maju serta berdaya saing. Antara bentuk perniagaan yang diceburi termasuklah perniagaan berasaskan makanan, kuih tradisional, restoran, bengkel kenderaan, perusahaan dobi, katering serta kraftangan.

Selain menerima bantuan modal, usahawan ini turut diberi latihan berkaitan sebelum dan semasa menjalankan perniagaan yang dikendalikan di bawah Pusat Latihan Asnaf Zakat (PULAZ), termasuklah kursus asas keusahawanan, kewangan, pemasaran dan ceramah motivasi.