LZS (MAIS) BELA KES NAYAN AHMAD SEJAK 2005



Shah Alam –Nayan bin Ahmad, 42 yang berita tentangnya tersiar di akhbar Kosmo 6 Disember bertajuk ‘Hanya mampu berdoa’ pada muka hadapan dan tajuk kecil ‘Azab tujuh sekeluarga’ pada muka ke dua telah dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS sejak tahun 2005.

Menurut laporan akhbar berkenaan, beliau kini menanggung kesusahan dan penderitaan akibat penyakit kronik Sindrom Alport yang dihidapi oleh isteri dan keenam orang anaknya. Mereka kini menanggung komplikasi buah pinggang, kekaburan penglihatan, kekurangan pendengaran dan kemerosotan daya imunisasi badan.

Walau bagaimanapun, LZS (MAIS) agak kesal kerana di dalam laporan akhbar berkenaan, beliau langsung tidak menyentuh mengenai bantuan-bantuan yang pernah dan sedang diperoleh oleh beliau sekeluarga. Fenomena ini dikhuatiri boleh menimbulkan kesangsian pada pandangan awam dan berupaya menjejaskan kredibeliti LZS (MAIS).

Sehubungan dengan itu, YB Dato’ Hj. Abdul Rahman bin Palil, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat Negeri Selangor merasa terpanggil untuk menjelaskan bahawa Nayan bin Ahmad sekeluarga sememangnya merupakan asnaf miskin yang berdaftar dan menerima bantuan dari LZS (MAIS). Beliau membuat kenyataan balas media di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang selepas melakukan lawatan khas kepada anak Nayan Ahmad yang kini menerima rawatan rapi di situ.

Menurut beliau lagi, setelah dirujuk kepada rekod Jabatan Agihan LZS (MAIS), nama Nayan Ahmad telah pun dicatatkan mula menerima bantuan LZS (MAIS) sejak tahun 2005. Sehingga ke hari ini iaitu kira-kira setahun, jumlah keseluruhan bantuan yang telah diluluskan kepada beliau sekeluarga ialah RM5, 508.15.

Antara jenis bantuan yang telah diluluskan ialah menjelaskan bil air dan kos pembedahan fitsula anak beliau yang bernama Mohd. Shaifulnizam sebanyak RM2, 226.65. Beliau juga pernah membuat permohonan pembedahan fitsula isterinya yang berjumlah RM1, 311.50 dan diluluskan. Keluarga berkenaan juga turut menerima bantuan berjumlah RM250 sebulan.

Di samping itu, menurut rekod Pegawai Agihan Zakat Daerah Klang, Khairul Azhan Bin Ahmad, beliau turut ditawarkan oleh LZS (MAIS) bagi membiayai rawatan kepada kesemua ahli keluarganya yang lain. Walau bagaimanapun, beliau mengambil sikap kurang bersungguh-sungguh kerana sehingga ke hari ini tidak menghantar sebarang dokumen penting seperti laporan hospital kepada pihak LZS (MAIS) untuk diproses. Bahkan beliau juga tidak membuat sebarang permohonan lain bagi setiap anaknya yang dikatakan turut mengidap penyakit yang sama.

Menurut prosedur perubatan, pembedahan fitsula hendaklah dilalui terlebih dahulu oleh setiap pesakit seperti keluarga Nayan Ahmad sebelum mereka boleh dirujuk menjalani rawatan hemodialisis (mencuci buah pinggang). Dalam kes ini, surat jaminan (GL) LZS (MAIS) telah pun dikeluarkan kepada beliau dan pihak hospital lazimnya akan membuat tuntutan bayaran setelah seseorang pesakit yang dijamin oleh LZS (MAIS) selesai menjalani pembedahan.

Merujuk kepada anak sulong beliau iaitu Mohd. Shaifulnizam, beliau dikatakan telah menjalani pembedahan dan dikeluarkan dari hospital pada Disember 2005, namun sehingga ke hari ini pihak LZS (MAIS) masih belum menerima sebarang tuntutan bayaran pembedahan dari pihak hospital. Hal ini menunjukkan seolah-olah anak beliau tidak pun menjalani sebarang pembedahan lagi setakat ini.

Sehubungan dengan itu, LZS (MAIS) berharap siaran berita Nayan Ahmad tidak menimbulkan keraguan dan kekeliruan di kalangan masyarakat.