LZS (MAIS) BANTU NUR’AIN SYAFIKAH RM10 RIBU



Kuala Langat – Nasib seorang kanak-kanak Nur’ain Syafikah Mohamad Sajari, 3, yang mengalami masalah injap jantung bengkak mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS apabila menyampaikan bantuan sebanyak RM10,000 pada 4 Januari.

Bantuan telah disampaikan oleh Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Datuk Abdul Fatah Iskandar yang kemudiannya menyerahkan kepada bapanya Mohamad Sajari Ismail, 38.

“Saya terharu dengan bantuan ini dan berterima kasih kepada LZS (MAIS) dan Datuk Fatah atas keprihatinan mereka,” jelas Mohamad Sajari.

Sementara itu, Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar berkata, pihak LZS (MAIS) juga akan memberi bantuan untuk apa-apa kos rawatan susulan Nur’ain Syafikah selepas pembedahan ini.

“Bantuan LZS (MAIS) tidak terhenti setakat ini sahaja dan pihak LZS (MAIS) akan terus komited membantu Nur’ain Syafikah selepas ini,” jelas Ahmad Shahir lagi.

Nur’ain Syarfiqah disahkan mengalami masalah jantung dan dijadualkan menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) pada 8 Januari ini membabitkan kos RM12,000.