LZS (MAIS) ANJUR PROGRAM QURANIK PERTAMA DI MALAYSIA



Shah Alam – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berjaya menganjurkan program Quranik yang merupakan program pertama seumpamanya dianjurkan di Malaysia bertujuan membantu anak-anak fakir miskin dalam membentuk mereka menjadi insan yang berakhlak mulia dan mencintai al-Quran.

Seramai 730 pelajar asnaf fakir dan miskin di seluruh Negeri Selangor menyertai Program ini yang bermula pada 4hb Jun hingga 8hb Jun bersempena dengan cuti sekolah yang diadakan secara berperingkat-peringkat di beberapa buah daerah.

Antara daerah yang terlibat ialah Petaling dan Klang seramai 250 orang peserta yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin, Abdul Aziz Shah, Daerah Gombak dan Hulu Selangor seramai 70 orang peserta yang diadakan di Masjid ar-Rahimiah, Kuala Kubu Bharu, Hulu langat dan Kuala Langat seramai 160 orang peserta yang diadakan di Masjid KLIA, Sepang dan Masjid Al-Hasanah dan bagi Daearah Sabak Bernam dan Kuala Selangor seramai 250 orang peserta yang diadakan di Masjid Jamek Sultan Ibrahim dan Masjid Sekendi.

Majlis pembukaan program ini telah diadakan di Masjid Sultan Salahuddin, Abdul Aziz Shah yang telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Belia dan Mesra Rakyat, YB Dato’ Haji Abdul Rahman Palil.

Dalam ucapannya, beliau berharap agar program seumpama ini dapat membuka minda dan menanamkan semangat kepada setiap pelajar tentang keberkesanan cara berfikir yang efektif serta pentingnya mendekatkan diri kepada al-Quran melalui pembacaan, hafazan dan penghayatan.

Program Quranik menggunakan kaedah al-Huffaz sebagai teknik efektif serta berkesan berdasarkan fakta logik, saintifik, kerohanian dan pengalaman peserta yang telah mengikuti program tersebut.

Ia mampu membuka minda dan menanamkan penggunaan otak yang efektif dengan pendekatan diri kepada al-Quran melalui pembacaan, penghayatan dan penghafazan demi menyelesaikan semua permasalahan kehidupan mereka sama ada di rumah, sekolah, masyarakat dan sebagainya.