LZS (MAIS) ANJUR KEMBARA AMAL BIKERS



Kuala Selangor – Lembaga Zakat Selangor (MAIS) Wilayah Utara (Daerah Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dengan kerjasama Kelab Mobikers Kuala Selangor dan Skuad Dakwah Zakat (SDZ) telah mengadakan program Kembara Amal Bikers pada 23 Jun di sini.

Program tersebut disertai 32 orang ahli Kelab Mobikers Kuala Selangor yang menunggang motosikal berkuasa tinggi, di samping 22 orang ahli SDZ telah dilepaskan oleh Adun Jeram, Yang Berhormat Dato’ Amiruddin Setro di perkarangan kaunter LZS (MAIS) Kuala Selangor.

Dalam majlis yang sama juga, Kelab Mobikers Kuala Selangor turut mengeluarkan zakat sebanyak RM300 yang disampaikan sejurus sebelum upacara pelepasan.

Menurut Ketua Operasi Wilayah Utara LZS (MAIS), Mustafa Selamat, objektif program tersebut dilaksanakan bertujuan mengeratkan silaturrahim sesama masyarakat Islam.

“Di samping itu, ia bertujuan memberikan pendedahan kepada golongan korporat berkenaan peranan LZS (MAIS) dalam membasmi kemiskinan dan juga mewujudkan semangat bekerjasama antara golongan korporat dan asnaf miskin,” jelas beliau.

Program sehari itu bermula dengan konvoi ke rumah Raudhah Idros, 65 di kampung Kunci Air Buang, Tanjung Karang. Di situ, para peserta konvoi secara bergotong-royong merobohkan rumah lama Raudhah setelah rumah baru yang berharga RM23 ribu sumbangan LZS (MAIS) siap dibina bersebelahan dengannya.

Kemudian, para peserta bergotong-royong membantu membina rumah Darussalam Muzio, 44 di Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam dengan bekerjasama mengangkut batu bata dan simen bagi membina rumah tersebut.

Program tersebut berakhir di Masjid Sultan Ibrahim Kuala Selangor.