LZS (MAIS) ANJUR BENGKEL BICARA ZAKAT NIAGA



Gombak – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS, Wilayah Timur dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menganjurkan Bengkel Bicara Zakat Niaga bertempat di UIAM, Gombak pada 20 Jun yang lalu.

Bengkel tersebut dianjurkan bagi memberikan kefahaman dan pendedahan tentang kaedah taksiran zakat perniagaan. Seramai 70 orang peserta yang terdiri daripada ahli korporat dan para akauntan telah menghadiri bengkel tersebut.

Bengkel telah dimulakan dengan tazkirah dan penerangan tentang pelaksanaan agihan zakat oleh Ustaz Mohd Uda Kasim, Eksekutif Penerangan & Dakwah LZS (MAIS). Sesi bengkel taksiran zakat niaga pula telah dikendalikan oleh Prof. Madya Tuan Syed Ghazali Syed Wafa dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Menurut Pengarah Program, Azhar Yahya Arif, kerjasama yang diberikan oleh ahli korporat dan para akauntan ini amat menggalalakkan. Ini membuktikan zakat perniagaan tidak lagi terpinggir dan kesedaran masyarakat untuk mendalaminya juga telah bertambah.

“Sasaran awal peserta hanyalah seramai 50 orang sahaja memandangkan bengkel ini kali pertama dianjurkan di peringkat Wilayah Timur. Walaubagaimanapun, melihat komitment peserta, alhamdulilah program ini boleh dikatakan berjaya.

“Bengkel Bicara Zakat Niaga ini dilihat berjaya menarik minat para peserta untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kaedah taksiran zakat dan pelaksanaan sistem agihan yang dilaksanakan oleh LZS (MAIS). Dan InsyaAllah pihak kami akan menjalankan khidmat susulan seperti mengadakan temujanji dan taklimat di syarikat-syarikat yang telah menyatakan minat mereka,” ujar beliau

Leave a Reply