LZS (MAIS) ANJUR BAZAAR RAMADAN BANTU GOLONGAN MISKIN



SHAH ALAM,– Sempena Ramadan ini Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS menganjurkan bazaar ramadan khusus untuk golongan miskin berniaga yang telah dirasmikan oleh Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di Wisma MAIS di Seksyen 3 di sini pada 15 September.

Bazaar Ramadan ini merupakan aktiviti yang pertama seumpamanya diadakan bertujuan membantu asnaf zakat menambah pendapatan terutamanya untuk persiapan menyambut hari raya.

LZS (MAIS) menyediakan 103 tapak gerai beserta khemah di mana 70 daripadanya dikhususkan untuk golongan miskin.

Selebihnya adalah peniaga bukan asnaf dengan dikenakan bayaran sebanyak RM500 untuk sebulan. Baazar Ramadan ini dibuka mulai pukul 10.00 pagi bagi jualan kering dan 3.00 petang bagi juadah berbuka puasa sehingga ke pukul 10.00 malam.

Pelbagai jenis juadah berbuka puasa terdapat di sini termasuk produk keluaran asnaf yang menerima bantuan. Selain itu, untuk memberi lebih pilihan kepada pengunjung bazaar ini turut menyediakan gerai jualan kuih raya, pakaian, kasut, aksesori dan pelbagai lagi.

Turut disediakan pertunjukkan busana muslim dan persembahan nasyid oleh kumpulan Nowseeheart pada 15 Sept, Devotees pada 16 Sept, Saujana pada 22 Sept, Ustaz Amal pada 23 Sept, Far East pada 29 Sept, Mestica pada 30 Sept, E One pada 6 Oktober dan UNIC pada 7 Oktober bagi menarik lebih ramai pengunjung datang ke sini.

Sementara itu, pada majlis yang sama, Mohamad Adzib turut menyampaikan sumbangan kepada 40 orang anak fakir miskin. Beliau juga turut berbuka puasa bersama mereka.

Hadir sama Pengurus Besar LZS (MAIS), Ahmad Shahir Makhtar.