LZS (MAIS) ADAKAN DIALOG DENGAN DRB-HICOM



Shah Alam – Kesungguhan Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS di dalam menyebar luaskan dakwah zakat semakin terserlah apabila berjaya mengadakan dialog zakat korporat dan perniagaan dengan DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) bertempat di ibu pejabat DRB-HICOM di sini pada 12 Julai.

Seramai 80 orang kakitangan DRB-HICOM dan anak syarikatnya yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Kewangan dan Pegawai Akaun telah menghadiri majlis dialog tersebut.

Pelbagai pertanyaan dan pandangan telah dilontarkan di dalam majlis tersebut yang ahli panelnya terdiri daripada Prof. Madya Dr. Hailani Muji Tahir, Pensyarah di Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Prof. Madya Syed Mohd Ghazali Wafa (UKM) dan Pengurus Besar LZS (MAIS) Haji Ahmad Shahir Makhtar. Manakala Ketua Unit Perniagaan LZS (MAIS), Mohamad Amin Ibrahim bertindak sebagai moderator.

Menurut Pengurus Besar LZS (MAIS), Haji Ahmad Shahir Makhtar tujuan program tersebut diadakan adalah untuk menjelaskan lebih lanjut lagi tentang kewajipan berzakat terutamanya zakat perniagaan.

“Selain zakat perniagaan, kita juga berharap dapat memberi penjelasan mengenai zakat-zakat lain terutama zakat pendapatan kepada para kakitangan DRB-HICOM dan anak-anak syarikatnya,” jelas beliau lagi.

Beliau juga turut menjelaskan program tersebut telah mendapat maklum balas yang baik daripada kakitangan DRB-HICOM berdasarkan soalan-soalan yang diajukan semasa sesi dialog tersebut.

Turut hadir di dalam majlis dialog tersebut, Pengerusi MAIS, Y.A.D Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa dan Pengarah Kanan Kumpulan Perkhidmatan dan Perhubungan Institusi DRB-HICOM, Datuk Abu Samah Bachik.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan DRB-HICOM, Haji Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan DRB-HICOM, Hasni Harun.