LZS (MAIS) ADAKAN BENGKEL SARING LEBIH 12 RIBU FAKIR MISKIN



Port Dickson – Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS telah mengadakan Bengkel Pemilihan Fakir/Miskin peringkat Negeri Selangor bagi menyaring 12,460 orang calon fakir dan miskin di seluruh Selangor untuk menentukan kelayakan mereka sebagai asnaf fakir dan miskin pada 8 dan 9 Ogos di sini.

Menurut Ketua Bahagian Pengurusan Amil, Fitrah dan Data Fakir Miskin LZS (MAIS), Zaidi Rasid, kesemua calon yang dipilih telah dibanci oleh LZS (MAIS) sepanjang bulan Mei dan Jun yang lalu berdasarkan ‘Haddul Hifayah’, yang telah diluluskan oleh Majlis Fatwa Negeri Selangor.

Haddul Kifayah ini merupakan suatu garisan kecukupan seseorang individu dan keluarga untuk keperluan hidup yang asas. Terdapat enam perkara utama yang diambil kira iaitu, perlindungan atau rumah, makanan, pakaian, perubatan, pendidikan dan pengangkutan.

Menurut Zaidi lagi, setelah bancian dibuat, calon-calon tersebut terlebih dahulu ditapis di beberapa peringkat sebelum pemilihan peringkat negeri (terakhir) dilakukan.

“Saringan peringkat pertama ialah peringkat kariah yang dipengerusikan oleh Nazir Masjid, kemudian ia dibawa ke peringkat mukim yang dipengerusikan oleh penghulu dan seterusnya ke peringkat negeri seperti hari ini,” jelas beliau.

Mereka yang terpilih sebagai asnaf fakir miskin akan mula menerima bantuan pada bulan Ramadhan dan Hari Raya sehingga pemilihan semula diadakan tahun hadapan. Selain itu mereka juga layak menerima bantuan rumah, bantuan pendidikan, bantuan makanan bulanan, bantuan modal perniagaan dan berbagai lagi berdasarkan syarat lain yang ditetapkan.

Bengkel itu telah dihadiri seramai 138 orang peserta terdiri daripada Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah, Penolong Pegawai Daerah, Penghulu mukim, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Pegawai Penyelaras Masjid seluruh Selangor, wakil UPEN dan wakil Audit MAIS.

Bengkel selama dua hari itu bertujuan untuk memastikan bahawa tiada fakir miskin di Selangor yang tercicir daripada menerima bantuan zakat dan telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Belia dan Mesra Negeri Selangor, Y.B Dato’ Haji Abd. Rahman Haji Palil.

Manakala majlis penutupnya pula disempurnakan oleh Pengerusi MAIS, YAD Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa