LZS LANTIK ANGKASA SEBAGAI EJEN KUTIPAN ZAKAT



Tarikh : 8/18/2009
Penulis : Editor

Kelana Jaya – Lembaga Zakat Selangor (LZS) menandatangani perjanjian melantik Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) sebagai ejen kutipan zakat terkini di Selangor.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Pengurus Besar LZS, Haji Ahmad Shahir Makhtar serta Yang Dipertua ANGKASA, Dato’ Abdul Rahim Abu Bakar. Ia turut disaksikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Haji Mohamad Adzib Mohd Isa.

Dengan pelantikan ini, membolehkan pihak ANGKASA mengutip zakat perniagaan daripada 400 buah koperasi yang beroperasi di Selangor bagi pihak LZS.

ANGKASA adalah koperasi apex yang menaungi semua jenis koperasi asas, menengah dan atasan di seluruh negara. Kerjasama yang terjalin ini dilihat mampu menjana kutipan zakat di negeri Selangor. Sepanjang tahun 2008 sebanyak 42 buah koperasi telah menunaikan zakat di LZS dengan jumlah RM3.6 juta.

Turut hadir Timbalan Yang Dipertua ANGKASA, Dr. Mohd Ali Baharum.