LZS LANJUT PELANTIKAN UIAM SEBAGAI PENOLONG AMIL



GOMBAK – Lembaga Zakat Selangor (LZS) melanjutkan tempoh pelantikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) sebagai Penolong Amil Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam satu majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di sini.

Tempoh pelantikan tersebut dilanjutkan selama lima tahun bermula tahun ini sehingga tahun 2017.

Majlis menandatangani perjanjian ini disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Rektor UIAM, Prof. Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin mewakili UIAM.

Sebagai penolong amil IPT, UIAM boleh membuat kutipan zakat dan mengagihkan kepada kakitangan dan pelajar UIAM. Turut disediakan kaunter zakat yang terletak di Unit Zakat UIAM, di alamat IIUM Endowment Fund, Aras 2, Kompleks Sentral, UIAM, Gombak.

Selain UIAM, lima IPT lain, iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Multimedia (MMU) turut dilantik menjadi Penolong Amil IPT.