LZS LANCAR ZAKAT@ONEPAY



Tarikh : 12/16/2008
Penulis : editor; Gambar: zool

Shah Alam—Lembaga Zakat Selangor (LZS) MAIS melancarkan satu lagi kaedah pembayaran zakat yang dikenali sebagai zakat@one pay iaitu pembayaran zakat menggunakan kad ATM yang boleh dilakukan di seluruh stesen minyak Petronas di seluruh negeri Selangor.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa di sini pada 16 Disember.

Kemudahan yang disediakan dengan kerjasama syarikat MobilityOne Sdn Bhd ini menawarkan keselesan dan kemudahan yang fleksibel kepada pengguna untuk membuat pembayaran zakat secara eletronik. Mereka boleh membuat pembayaran zakat dengan pantas, lebih mudah dan selamat tanpa perlu menggunakan wang tunai dan tidak dikenakan sebarang cas tambahan.

Syarikat MobilityOne Sdn Bhd merupakan ejen kutipan yang dilantik oleh LZS bagi membuat kutipan zakat melalui terminal onepay. Selain MobilityOne, LZS telah melantik 14 bank utama, pos Malaysia dan beberapa IPTA sebagai ejen kutipan zakat di Selangor.

Turut hadir, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS Dato Siti Maslamah Osman, Ketua Jabatan Dakwah dan Kutipan, LZS, Hajjah Adibah Abdul Wahab, dan Ketua Pegawai Eksekutif, MobilityOne Sdn Bhd, Hussain Abd Rahman.