LZS LANCAR SIRI KEDUA JEJAK



SHAH ALAM, 20 Mac 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada tahun ini,
melancarkan bagi kali kedua Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) bagi mencari mereka
yang layak menerima bantuan zakat. Operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu ini
bertujuan bagi mengenalpasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan
akan disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin.

Matlamat LZS ialah untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan
yang layak, namun tidak berdaftar dengan LZS atas faktor tidak tahu bagaimana dan di
mana hendak memohon. Dengan tema “Kami Sedia Membantu” SJK dijalankan
dengan kerjasama pemimpin setempat, jawatankuasa penduduk, masjid dan surau serta
pembabitan lebih 30 orang pegawai LZS.

Dalam operasi yang dilaksanakan baru-baru ini di daerah Klang, seramai 163 keluarga
telah didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Operasi membabitkan tiga lokasi iaitu
Pangsapuri Sri Nervillia, Kota Kemuning (25-26 Februari), Pangsapuri Rimba, Padang
Jawa (3-4 Mac) dan Flat Sri Perantau, Pelabuhan Klang (10-11 Mac). Sebanyak 734
buah rumah telah dikunjungi di tiga lokasi terbabit dan daripada jumlah tersebut, 24
keluarga telah didaftarkan sebagai asnaf fakir manakala 139 lagi sebagai asnaf miskin.

Siasatan secara terus dari rumah ke rumah telah dijalankan di setiap lokasi di mana
penduduk diminta mengisi borang bancian siasatan bagi menentukan haddul kifayah
(garis penentuan kemiskinan) mereka. Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan
sebagai asnaf, akan menerima bantuan zakat seperti bantuan Ramadan dan Hari Raya
serta bantuan persekolahan. Manakala bantuan kewangan bulanan akan diberi pada
bulan berikutnya.

Sebelum ini, SJK telah diadakan pada tahun 2011 di daerah Petaling dan berjaya
mengesan 533 keluarga miskin. Operasi ini akan diteruskan ke daerah-daerah lain, bagi
memastikan kemiskinan di Selangor ini dapat dikurangkan melalui penyaluran bantuan
zakat.