LZS LANCAR SIRI KEDUA JEJAK KEMISKINAN: OPERASI MENCARI DAN MENGENAL PASTI KELUARGA YANG MEMERLUKAN BANTUAN



SHAH ALAM, 12 Mei 2012 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini, melancarkan bagi kali kedua Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) untuk mencari mereka yang layak menerima bantuan zakat. Operasi yang bersifat cari, siasat dan bantu ini bertujuan bagi mengenal pasti individu atau keluarga yang memerlukan bantuan dan akan disenaraikan sebagai asnaf fakir atau miskin.

Matlamat LZS ialah untuk menangani kemiskinan di Selangor, iaitu kepada golongan yang layak, namun tidak berdaftar dengan LZS atas faktor tidak tahu bagaimana dan di mana hendak memohon. Dengan tema “Kami Sedia Membantu” SJK dijalankan dengan kerjasama pemimpin setempat, jawatankuasa penduduk, masjid dan surau serta pembabitan lebih 30 orang pegawai LZS.

Dalam operasi yang dilaksanakan baru-baru ini di enam daerah iaitu Klang, Hulu langat, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Sabak Bernam dan Gombak seramai 677 keluarga telah didaftarkan sebagai asnaf fakir dan miskin. Sebanyak 1,773 buah rumah telah dikunjungi di 17 kawasan perumahan di daerah berkenaan terutamanya rumah-rumah kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Siasatan secara terus dari rumah ke rumah telah dijalankan di setiap lokasi di mana penduduk diminta mengisi borang bancian siasatan bagi menentukan haddul kifayah (garis penentuan kemiskinan) mereka. Seterusnya, keluarga yang layak didaftarkan sebagai asnaf, akan menerima bantuan zakat seperti bantuan Ramadan dan Hari Raya serta bantuan persekolahan. Manakala bantuan kewangan bulanan akan diberi pada bulan berikutnya.

Sebelum ini, SJK telah diadakan pada tahun 2011 di daerah Petaling dan berjaya mengesan 533 keluarga miskin. Operasi ini akan diteruskan ke daerah-daerah lain, bagi memastikan kemiskinan di Selangor ini dapat dikurangkan melalui penyaluran bantuan zakat.

Pada majlis hari ini, SJK diteruskan di Puchong Permai dan Pangsapuri Melur dalam daerah Petaling dan melibatkan 83 keluarga yang akan disiasat. Majlis pelancaran disempurnakan Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohamad Izam Mohamed Yusof dan Timbalan Pengurus Besar Pejabat Agihan LZS, Adibah Abdul Wahab.