LZS LANCAR PORTAL EJEN KUTIPAN



SHAH ALAM, 13 April 2016 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan Portal Ejen khusus untuk kegunaan ejen kutipan yang telah dilantik oleh LZS bagi menguruskan kutipan zakat dalam kalangan masyarakat Islam di Selangor. Majlis pelancaran disempurna oleh Mufti Negeri Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid bersempena dengan Majlis Penghargaan LZS 2014 di Wisma PKPS dekat sini.

Portal Ejen yang dibangunkan ini merangkumi penggunaan kaedah pengiraan zakat, urusan transaksi pembayaran zakat, melihat dan mengemas kini rekod pengeluar zakat dan mengemas kini maklumat ejen zakat.  Ia bersifat mobiliti yang mudah diakses di mana-mana lokasi ejen kutipan tersebut berada.

Dalam majlis yang sama, LZS turut mengiktiraf komitmen dan sumbangan ejen kutipan serta penolong amil LZS yang membantu menyebarkan dakwah zakat sekali gus meningkatkan kutipan zakat di Selangor pada tahun lalu.

DSC_6295

Majlis Penghargaan LZS 2015 diadakan khusus untuk wakil firma audit dan percukaian, ejen syarikat, bank, pejabat pos, penolong amil institusi pengajian tinggi (IPT), fitrah dan padi. Turut diraikan, syarikat-syarikat korporat yang merupakan pengeluar zakat perniagaan dan majikan yang membuat bayaran zakat melalui potongan gaji di LZS.

Sebanyak enam anugerah membabitkan 13 kategori dan empat anugerah khas disampaikan dalam majlis tersebut.

Sementara itu, LZS turut menyampaikan bantuan zakat kepada individu dan organisasi dengan jumlah agihan zakat keseluruhan sebanyak RM2,176,497.80. Penerima individu ialah Siti Hamimah Bakiri yang menerima bantuan pembinaan rumah baru bernilai RM51,000 dan Sakinah Ghulam Hussain yang menerima bantuan modal perniagaan berjumlah RM27,000.

Dua individu lagi menerima bantuan perubatan iaitu Sharin Abdul Rahman berjumlah RM60,000 untuk dua orang anaknya yang menghidap penyakit genetik dikenali sebagai ‘Syndrome Hunter’ dan Mohd Fauzi Yahya yang menerima bantuan perubatan untuk anaknya berjumlah RM38,497.80.

DSC_6332

Manakala Jabatan Pelajaran Negeri Selangor (JPS) menerima sumbangan zakat sebanyak RM2 juta bagi Program Sekolah Angkat (PROSA) yang akan disalurkan kepada 146 buah sekolah di seluruh Selangor.

Ia merupakan program bersama antara LZS dan JPS dengan menfokuskan kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin melalui pelbagai aktiviti seperti kelas tambahan, kursus motivasi, kem sahsiah diri dan sebagainya yang dijalankan melalui suntikan bantuan zakat tersebut.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Setiausaha MAIS, Dato’ Bakhtiar Hussin, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim, Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Dr. Mohd Shahari Ahmad Jabar dan Rosely@Mohamed Ross Mohd Din. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.

 

SENARAI PENERIMA ANUGERAH BERSEMPENA MAJLIS ANUGERAH LZS 2015

  •  Anugerah Prestasi Kutipan Terbaik 2015 (Kategori Penolong Amil Institusi Pengajian Tinggi)

UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

  • Anugerah Prestasi Kutipan Terbaik 2015 (Kategori Ejen Perunding)

AS-SALIHIN TRUSTEE BERHAD

  • Anugerah Prestasi Kutipan Terbaik 2015 (Kategori Ejen Kemudahan Bayaran)

AFFIN ISLAMIC BANK BERHAD

  •  Anugerah Prestasi Komitmen & Pengurusan Terbaik 2015 (Kategori Penolong Amil Institusi Pengajian Tinggi)

UNIVERSITI TENAGA NASIONAL

  •  Anugerah Prestasi Komitmen & Pengurusan Terbaik 2015 (Kategori Ejen Perunding)

SALMIZAH BINTI MOKHTAR

  • Anugerah Prestasi Komitmen & Pengurusan Terbaik 2015 (Kategori Ejen Kemudahan Bayaran)

MYEG SERVICES SDN BHD

  • Anugerah Penolong Amil Fitrah Terbaik 2015

MUHAMAD HAIROL ANUAR BIN MOHAMAD RASID

  •  Anugerah Penolong Amil Padi Terbaik 2015

KHAIRUDDIN BIN AHMAD

  • Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Potongan Gaji Terbaik 2015 (Kategori Kerajaan)                     PERBENDAHARAAN NEGERI SELANGOR
  •  Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Potongan Gaji Terbaik 2015 (Kategori Badan Berkanun)

KUMPULAN WANG SIMPANAN PEKERJA (KWSP)

  •  Anugerah Pengurusan Zakat Melalui Potongan Gaji Terbaik 2015 (Kategori Swasta)

NATIONAL AEROSPACE AND DEFENCE INDUSTRIES BERHAD

  •  Anugerah Pencapaian Zakat Perniagaan Terbaik 2015 (Kategori Pengeluar Zakat Perniagaan)

PROGRESSIVE IMPACT TECHNOLOGY SDN BHD

  • Anugerah Pengurusan Zakat Perniagaan Terbaik 2015 (Kategori Pengeluar Zakat Perniagaan)

KUMPULAN EMKAY/ MKLAND

 

  • ANUGERAH KHAS

         Anugerah Muhammad Al-Fateh (Transformasi)

HAMZAH BIN ALI

  •  Anugerah Muaz bin Jabal (Ejen Kutipan)

MAZLIN BIN ABD MANAFF

  •  Anugerah Abdul Rahman bin Auf (Perniagaan)

WORLDWIDE HOLDINGS BERHAD

  • Anugerah Umar Abdul Aziz (Potongan Gaji)

PETROLIAM NASIONAL BERHAD