LZS LANCAR KEMPEN TAMBAH CARUMAN MELALUI POTONGAN GAJI



SHAH ALAM, 12 Mac 2015 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini melancarkan Kempen Tambah Caruman Zakat Melalui Potongan Gaji bagi menggalakkan 175,020 orang pencarum zakat sedia ada menyemak semula jumlah potongan zakat mereka agar bertepatan dengan jumlah sebenar yang wajib dikeluarkan.

Majlis pelancaran disempurna oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa bersempena dengan Majlis Anugerah dan Penghargaan LZS 2014 di Wisma PKPS di sini.

Kempen ini akan dilaksanakan selama tiga bulan bermula 15 Mac hingga 15 Jun 2015. Pencarum yang ingin menambah caruman potongan zakat bulanan boleh berbuat demikian dengan mengunjungi 26 cawangan LZS di seluruh Selangor atau mengisi borang kebenaran secara atas talian di http://www.zakatselangor.com.my/espg-online.

Selain itu, para pencarum yang telah menambah caruman zakat sepanjang kempen berlangsung turut berpeluang memenangi hadiah menarik dengan hanya melengkapkan borang penyertaan beserta slogan mudah di portal LZS.

 

rsz_lzs_3173_copy